Archive for August 2012

Pheromones sebagai pewangi ghairah

Number of View: 0

TIADA PEWANGI GHAIRAH

Soalan

SAYA pernah terbaca dalam Internet mengenai ‘Pheromones’. Adakah benar ia berfungsi untuk mengeluarkan bau kelelakian bagi mengghairahkan pasangan kita? Boleh atau tidak saya gunakannya bagi memikat isteri untuk melakukan hubungan seks?

KADIR
Raub, Pahang

Jawapan

Banyak syarikat penjual ubat kuat dan ubat ghairah seks memperkatakan mengenai Pheromones yang kononnya dapat mengghairahkan lelaki atau wanita yang baunya dikatakan akan menaikkan syahwat.

Mengikut pendapat dan pengetahuan saya, ia mengarut dan yang membelinya tentu individu berfikiran cetek kerana membazir wang tanpa usul periksa. Kajian yang pernah dilakukan mengenai Pheromones ialah terhadap binatang.

Bahan kimia semula jadi ini dihasilkan melalui peluh atau cecair dari anggota sulit, najis atau air kencing yang dapat memberi ‘signal’ atau tanda tertentu kepada binatang lain yang sama spesies bagi memahami keadaan tertentu.

Sebagai contoh, anjing kencing di merata kawasan untuk memberitahu anjing lain yang itu adalah kawasannya. Jika anjing betina hendak memberitahu ia dalam keadaan subur yang mana telurnya akan keluar, ia mengeluarkan cairan dari bahagian berdekatan anggota seksnya.

Lelaki kononnya mengeluarkan bauan badan spesifik daripada peluh ketiak yang dapat menggelorakan perasaan syahwat wanita yang terhidu atau yang sengaja menghidu pakaiannya yang dibasahi peluh.

Mungkin ini boleh berlaku jika minda wanita itu terbuka untuk membuat begitu. Jika tidak, ia tidak berlaku.

Sehubungan itu, jangan fikir adanya minyak wangi mengandungi Pheromones dapat membangkitkan perasaan syahwat isteri jika mindanya tidak terbuka untuk tujuan itu. Lagipun, minyak wangi itu perlu ada Pheromones yang datang daripada anda.

Ketumbesaran dada lelaki

Number of View: 0

KETUMBESARAN DADA

Akibat tindak balas hormon Estrogen yang dihasilkan pundi Adrenal.

BAGI lelaki sejati, mempunyai buah dada besar adalah perkara yang memalukan.

Namun jika disebabkan obesiti dan lemak, ia bukan sesuatu yang membimbangkan kerana hanya perlukan disiplin diet yang ketat.

Namun, perkara yang perlu diberi perhatian ialah buah dada membesar di kalangan lelaki akibat Gynecomastia.

Ia adalah istilah teknikal perubatan mengenai fenomena buah dada lelaki membesar.

Antara Gynecomastia paling kerap berlaku dikenali sebagai ‘Pubertal Mastitis’ atau ketumbesaran buah dada akibat akil baligh, yang mana isu ini pernah saya kupas sebelum ini.

Ia berlaku akibat tindak balas hormon Estrogen yang dihasilkan pundi Adrenal dan pada masa sama akibat buah zakar membesar pada peringkat awal baligh tetapi mengecut dua atau tiga tahun kemudian.

Bagaimanapun, perkembangan dunia perubatan baru-baru ini mendedahkan, keghairahan lelaki untuk meningkatkan kemampuan seksual mereka tanpa memikirkan bahan yang diambil akan memberi kesan dahsyat.

Antaranya ialah beberapa krim herba yang mengandungi butea superba, minyak lavender dan minyak tea tree jika digunakan sebagai krim badan atau untuk anggota sulit sebagai krim ‘pembesar’ zakar boleh mengakibatkan kemunculan buah dada di kalangan lelaki muda.

Sehubungan itu, adalah penting untuk berhati-hati apabila mengguna losyen atau krim untuk alat sulit bagi mengelak tindak balas sampingan sehingga mengakibatkan buah dada anda membesar.

Berbalik kepada masalah Gynecomastia, anda tidak perlu bimbang kerana dengan rawatan bersesuaian, masalah ini dapat diatasi.

Misalnya, kes Hipogonadisme atau keadaan kekurangan hormon Testosterone di kalangan lelaki yang menyebabkan tindak balas hormon Estrogen merangsang ketumbesaran buah dada.

Apabila hormon Testosterone diberikan sebagai mengganti hormon yang kurang, masalah ketumbesaran buah dada terkawal.

Kadangkala ubat tertentu seperti ubat Cimetidine (untuk gastrik) atau Ketoconazole (ubat nyah kulat) jika dimakan lama boleh menyebabkan kemunculan buah dada di kalangan lelaki.

Lelaki yang mengalami kerosakan buah zakar atau kanser buah zakar mempunyai buah dada besar seperti anak dara sunti.

Justeru, sangat mustahak untuk mana-mana lelaki sudah baligh dua atau tiga tahun tetapi mendapati buah dadanya masih membesar supaya merujuk kepada doktor untuk menjalani pemeriksaan buah zakar.

Kadangkala barah buah zakar itu kecil dan tidak dapat dirasa dengan cara pemeriksaan kendiri.

Ujian darah Beta HCG dan Alfa-Feto Protein jika positif menggambarkan kemungkinan barah buah zakar.

Lemak yang banyak di paras dada memberi gambaran seolah-olah buah dada besar, tetapi itu bukan buah dada, sebaliknya lemak.

Sama juga dengan kes otot dada yang mantap akan kelihatan seperti buah dada besar.

Lelaki gempal tidak perlu khuatir jika buah dada mereka besar.

Yang mustahak jika besar agak luar biasa, mustahak untuk berjumpa doktor bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan sewajarnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...