Rahsia Zakar

 

Belum dapat zuriat


 

SOALAN

SAYA menghadapi masalah kurang nafsu syahwat. Saya berumur 31 tahun dan sudah hampir tiga tahun berumahtangga, namun belum dikurniakan zuriat.


Sejak kebelakangan ini saya berasakan nafsu syahwat saya berkurangan. Beberapa kali saya tewas kerana zakar tidak dapat mengeras secukupnya walaupun sebelum membuat tusukan ia keras.

SYAHRIL
Shah Alam, Selangor


JAWAPAN


Respons seksual berlaku apabila individu itu berhajat dan berkeinginan untuk melakukan hubungan keintiman seksual dengan pasangan.

Dalam keadaan itu pusat kawalan seks mindanya terangsang dan menyampaikan isyarat kepada anggota sulitnya yang dalam sekelip mata mengembang akibat kemasukan darah yang banyak ke dalam liang otot zakar dan membuatkan anggota sulit itu keras, padat dan sesuai untuk melakukan seks penetratif dengan pasangan.

Otak dan sistem urat saraf dan sistem perjalanan darah memainkan fungsi penting dalam kejayaan dan pencapaian ereksi dalam rangsangan seksual. Jika minda terganggu, respons seksual tergendala.

Ini boleh berlaku apabila individu itu mengalami tekanan. Anda muda dan mudah sangat terangsang dengan perkara yang merangsangkan lelaki, sudah tentu anda mempunyai kemampuan seksual yang seimbang dengan umur anda.

Anda kurang yakin dengan kemampuan seksual anda dan teragak-agak melakukan hubungan seks penetratif dengan pasangan. Mungkin perasaan bersalah dalam diri anda kerana tidak dapat membuat isteri anda hamil menjadi punca kepada keadaan itu?

Kebiasaan untuk lelaki melakukan hubungan seksual tanpa apa-apa syarat, lebih secara spontan dan mengikut mood dan keadaan. Jika pasangan mahu seks dilakukan pada waktu subur, suami yang sensitif akan rasa tertekan dan dalam keadaan itu kekuatan ereksi mula menurun.

Ini akibat tindak balas hormon adrenalin yang keluar akibat stres ketika hendak melakukan seks penetratif. Dalam keadaan begitu ereksi menjadi lemah dan ini secara langsung membuatkan suami rasa lebih tertekan lagi, kesudahannya kegagalan melakukan seks.

Mereka akan dapati mudah mencapai ereksi ketika bangun tidur dan ini membuatkan mereka keliru kerana ‘ketika hendak sangat-sangat buat, tak jadi; bila dalam keadaan biasa, boleh jadi dengan baik’.

Jika anda tiada masalah kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat, jaga makan, tidak merokok atau ambil minuman keras dan melakukan senaman berkala, perkara lemah syahwat dan lembab rangsangan tidak sepatutnya berlaku.

Bagaimanapun, jangan risau sangat, tenangkan fikiran dan yakin kepada diri anda. Jika masih mengalami kelemahan syahwat, anda boleh rujuk kepada mana mana doktor keluarga.