Air Mani

Air Mani Kurang dan Cair menyukar dapat Zuriat

Number of View: 0

SAYA berkahwin lebih setahun dan sehingga kini belum ada zuriat. Untuk pengetahuan doktor, saya wanita dan bekerja di sebuah makmal perubatan swasta.

Saya pernah menjalankan ujian air mani terhadap suami dan saya dapati spermanya sangat kurang selain air maninya sangat cair. Dalam satu ‘field’ hanya ada dua hingga tiga ekor saja dan itupun mati.

Adakah cara nak mengatasi masalah suami saya, umpamanya seperti makan vitamin atau ubat? Sebelum ini pernah cuba Vit Shaklee tapi tiada perubahan.

AMYLIN
Semenyih, Selangor

sperma-sikitAPABILA berkahwin, tentu kedua-dua mempelai menunggu waktu untuk menimang cahaya mata.

Inisiatif untuk mencari punca atau sebab anda belum mencapai kehamilan itu memang baik. Anda dapat gunakan kemudahan yang ada pada anda untuk melakukan ujian air mani suami dan mendapati masalah benihnya.

Namun anda tiada kemahiran untuk mengendalikan masalah kesuburan yang berada dalam bidang kawalan doktor.

Anda dan pasangan sepatutnya berjumpa doktor menjalani pemeriksaan kesuburan. Jika anda mahu rujuk kepada pakar pun boleh dan itu mengikut kemahiran pakar itu.

Jika suami anda jumpa doktor yang mengendalikan masalah kesuburan lelaki, tentu doktor itu akan melakukan pemeriksaan fizikal, memeriksa buah zakar suami dan jadualkan ujian air mani.

Jika air maninya mempunyai profil benih yang tidak normal, doktor itu boleh lakukan ujian lanjutan terhadap suami anda, melakukan ujian darah untuk menyukat hormon FSH, Prolactin dan hormon Testosterone. Hanya selepas itu baru doktor akan memberi ubat sewajarnya.

Namun, anda tidak berbuat begitu. Anda nak dia cuba suplemen tapi tidak berkesan. Jika anda meneliti maklumat dalam Internet mengenai kesuburan lelaki, anda akan dipaparkan pelbagai suplemen dan makanan.

Itu bukan rawatan, itu hanya maklumat kesihatan yang mungkin boleh membantu. Makanan seperti kacang hazel, kacang badam, pecan, walnut, pista dan kacang tanah mengandungi asid lemak tambahan essential dan zat galian zink yang membantu penghasilan sperma sihat.

Sama juga dengan asid folik yang membantu menstabilkan struktur baka sperma. Malah, anda akan dapati herba tertentu seperti Tribulus (Tribestan) dan Tongkat Ali (Nu-Prep Lelaki) dapat membantu meningkatkan isi padu air mani, kualiti dan bilangan sperma.

Jika suami anda sudah cuba suplemen dan amalkan makanan yang dijelaskan tadi dan dalam masa dua hingga tiga bulan tetapi tiada apa-apa perubahan, dia perlu berjumpa doktor.

Mungkin masalah sperma suami anda ada kaitan dengan pekerjaannya atau amalan tidak sihat seperti merokok atau alkohol atau perkara lain.

Banyak perkara boleh menyebabkan masalah sperma lelaki, tapi tanpa berjumpa doktor, memang sukar menyelesaikan masalah itu.

Cadangkan suami berjumpa doktor dan anda juga perlu menjalani pemeriksaan sekali. Mana tahu jika anda juga ada masalah, lagi cepat dikendalikan lagi baik. Elok dua-dua pasangan menjalani pemeriksaan serentak.

(Sumber Harian Metro)

Risau Kurang Air Mani

Number of View: 0

Saya berumur 24 tahun dan berkahwin sebulan lalu. Suami yang berusia 35 tahun mengalami masalah kekurangan air mani.

Mungkinkah ia menyebabkan saya tidak akan hamil? Kitaran haid saya normal setiap bulan.
Suami juga mengalami sakit kaki, terutama ketika cuaca sejuk. Adakah ia mempengaruhi air mani suami dan adakah cara untuk mengubati penyakitnya?

TIARA

Kuching, Sarawak

Anda menyatakan air mani suami kurang. Adakah perkara ini disahkan doktor atau hanya tekaan anda? Untuk makluman anda, air mani keluar ketika lelaki mencapai klimaks atau mencapai ejakulasi. Jika air mani dikumpul dalam bekas dan isi padunya lebih 2ml, itu dikira normal.

Jika air mani dikeluarkan beberapa kali sehari, pada permulaannya isi padunya biasa, tapi kali kedua ia mula kurang dan kali ketiga, ia menjadi sangat kurang atau keluar setitik. Sama juga jika hubungan seksual dilakukan setiap hari. Pada hari seterusnya, isi padu air mani akan berkurangan.

Air mani keluar dengan banyak apabila lelaki sangat teruja. Jika perasaan teruja kurang, pengeluarannya juga kurang.

Jika kita kaitkan air mani dengan kesuburan lelaki, paling mustahak ialah isi kandungan air mani, iaitu sama ada dalam air mani itu ada sperma atau sebaliknya.

Jika ada sperma, sama ada bilangan cukup, aktif dan berbentuk normal. Untuk mengetahui semua semua itu, suami perlu menjalani ujian air mani di makmal.

Mengenai sakit tumit ketika cuaca sejuk, suami perlu jumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan tapak kakinya.

Daripada pemeriksaan itu, doktor boleh tahu jika struktur tumit dan tapak kakinya normal. Masalah ini tiada kaitan dengan masalah kurang air mani.

Risau Air Mani tiada Sperma

Number of View: 0

Soalan

SAYA berusia 38 tahun dan sudah lebih dua tahun berkahwin, tetapi belum dikurniakan cahaya mata.

Baru-baru ini saya menjalani pemeriksaan kesuburan dan doktor memberitahu air mani saya tiada sperma. Puncanya buah zakar saya rosak dan saiznya mengecut daripada normal.

Doktor berkenaan tidak pasti punca kerosakan buah zakar saya, tetapi bagi saya mungkin berpunca daripada memakai seluar ketat.

Doktor itu berterus terang mengatakan saya tiada harapan untuk mendapat zuriat sendiri. Bagaimana pendapat doktor?

TERUNG
Kuala Lumpur

Jawapan

SIAPA yang tidak mahukan anak? Lebih-lebih lagi daripada zuriat sendiri. Jika diizinkan Tuhan, segala impian itu akan termakbul.

Adalah penting bagi mana-mana pasangan yang lama berkahwin berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan sekiranya isteri masih belum hamil.

Pemeriksaan yang akan dilakukan kepada suami ialah pemeriksaan fizikal untuk mengetahui sama ada anggota reproduktif suami sihat atau tidak. Selepas itu ujian air mani akan dilakukan untuk mengetahui sama ada dia mampu menghasilkan sperma atau tidak.

Sperma itu pula akan diperiksa sama ada ia sihat, berbentuk normal, aktif dan bilangannya mencukupi. Jika perlu pemeriksaan susulan seperti ujian hormon dan pembedahan kecil akan dilakukan kepada buah zakar (testicular biopsy) untuk mengambil secebis tisu bagi meneliti kilang sperma sama ada ia normal atau tidak.

Biasanya ujian air mani dilakukan berulang dalam tempoh beberapa minggu. Jika pada ujian kali ketiga masih tiada sperma, sahlah air mani itu tidak mengandungi sperma.

Oleh itu, pemeriksaan susulan seperti penyukatan hormon kesuburan FSH akan dilakukan dan jika perlu pembedahan biopsi buah zakar juga perlu dilakukan. Jika semua ujian ini menunjukkan kilang sperma tiada atau rosak, kemungkinan mendapat zuriat sendiri memang tiada.

Pemeriksaan kedua-dua buah zakar dengan menggunakan alat Orkidometer atau alat pengukur buah zakar dapat memberi gambaran mengenai kedudukan buah zakar itu dari segi kemampuan kilang sperma.

Ukuran kurang dari 12 cc menandakan ia mempunyai masalah. Kadang-kadang isi padu buah zakar normal tetapi tiada sperma. Keadaan sebegini memerlukan pemeriksaan susulan seperti ujian tahap hormon FSH dan kadang-kadang pembedahan biopsi buah zakar untuk mengenalpasti kedudukan kesuburan lelaki itu.

Punca kenapa lelaki itu tidak subur atau tidak menghasilkan sperma memang banyak. Antaranya, masalah baka dan ia memang sukar dipulihkan.

Kerosakan buah zakar juga boleh berlaku akibat kecederaan. Selain itu jangkitan kuman dan virus (seperti virus beguk) boleh mengakibatkan keradangan dan kerosakan kilang sperma. Pendedahan kepada bahan kimia seperti racun rumpai, racun serangga (DDT), pancaran sinar-x dan kimia anti kanser juga boleh merosakkan buah zakar.

Begitu juga dengan buah zakar yang terdedah kepada suhu tinggi seperti bahang dari alat kimpalan atau ketuhar. Sebahagian besar sebab kilang buah zakar rosak tidak diketahui.

Memang sukar mengesan masalah sebenar. Bagaimanapun jika tiada penawar, kedua-dua pasangan boleh mengambil anak angkat.

Masalah Tiada Sperma

Number of View: 0

MINGGU ini, saya ingin menjawab satu soalan mengenai kegagalan seorang pesakit mendapatkan zuriat kerana masalah Azoospermia atau tiada sperma. Mungkin juga masalah ini dapat dikongsi semua pasangan yang gagal mendapatkan cahaya mata.

Seorang pesakit menghubungi saya dan menyatakan dia gagal menimang cahaya mata selepas lima tahun berkahwin. Dia pernah membuat pemeriksaan ujian air mani dan didapati tiada sperma di dalam air maninya.

sperSelepas memakan ubat diberi doktor selama seminggu, pesakit ini kembali berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan, namun keputusannya masih sama. Doktor turut memeriksa salur atau ‘tiub’ sperma dan mendapati ia tidak tersumbat.

Sebenarnya, ketiadaan sperma dalam air mani bukan disebabkan salur atau tiub air mani tersumbat, sebaliknya akibat kerosakan buah zakar yang mengeluarkan sperma.

Begitupun, untuk mengenal pasti jika salur air mani tersumbat, isi padu air mani akan berkurangan kepada satu mililiter (ml). Ini petanda bahawa salur sperma tersumbat.

Namun, jika isi padu air mani lebih daripada itu, masalah ketiadaan sperma dalam air mani tidak ada kaitan dengan saluran terbabit.

Ini mungkin disebabkan buah pelir anda rosak atau tidak dapat menghasilkan sperma. Jika kebetulan saiz buah pelir anda melebihi 12ml mengikut ukuran dengan alat pengukur buah pelir seperti ‘Prader’s Okidometer’, doktor boleh melakukan pembedahan kecil untuk mengambil secebis tisu daripada kedua-dua buah pelir anda untuk mengenal pasti jika kilang sperma berfungsi atau sebaliknya.

Jika didapati kilang sperma tidak aktif dan tiada sperma dalam kilang terbabit atau dalam salur dalaman buah zakar, ia menjadi masalah besar kerana anda tidak mungkin dapat menghamilkan pasangan. Untuk itu, anda tiada peluang memiliki cahaya mata.

Malah setahu saya, anda juga tiada peluang mendapat anak melalui proses benih derma atau ‘donor sperm’. Oleh itu, cara terbaik adalah dengan mengambil anak angkat.

Bagaimanapun, jika ujian pengambilan tisu buah zakar dan kaedah menyedut keluar sperma daripada salur sperma kecil dalam buah pelir menemui beberapa sperma separa matang, ia boleh disuntikkan ke dalam telur isteri untuk mendapat embrio atau hasil cantuman telur dengan sperma, yang mana ia boleh dimasukkan ke dalam rahim.

Jika kebetulan percantuman berlaku, kemungkinan isteri anda boleh hamil. Untuk memastikan kaedah ini boleh dilakukan, anda perlu merujuk kepada pakar kesuburan di kawasan tempat tinggal anda.

Saranan saya, Allah maha Kuasa. Jangan putus asa. Teruskan usaha mendapatkan cahaya mata. Kini dengan melayari internet, anda boleh mendapat banyak maklumat dan kemudahan perawatan kesuburan.

Air Mani Normal dan Aktif

Number of View: 0

SAYA berusia 24 tahun. Ketika kecil, saya dilahirkan dengan kedua-dua testis tidak berada di dalam scrotum. Ketika berumur 10 tahun, saya menjalani pembedahan kerana satu testis saya yang berada di abdomen membengkak dan doktor terpaksa membuangnya.

senyawaovumSetahun lalu, saya juga menjalani pembedahan Undescended Testicles dan doktor berjaya membawa turun testis saya ke dalam scrotum, tempat asalnya.
Sejak itu, saya kerap mengalami mimpi basah ketika tidur. Saya juga pernah bersetubuh dan melakukan oral seks dan air mani saya juga keluar.

Adakah air mani yang keluar mempunyai sperma atau tidak dan adakah saya mampu mendapatkan zuriat selepas berkahwin kelak? Adakah saya boleh dikategorikan sebagai mandul disebabkan testis saya hanya satu dan adakah tahap kesuburan saya tidak bagus disebabkan hanya mempunyai satu testis?

LAN

Klang

Selepas membaca masalah anda, saya teringat satu kes yang saya kendalikan 20 tahun lalu.

Ia kes berbeza, namun masalah sebenarnya ialah buah zakarnya duduk di atas iaitu di dalam ‘Perineal Pouch’ atau bahagian atas antara tundun dan lubang najis dan bukan di dalam kerandut.

Bagaimanapun, dia mempunyai sperma dengan bilangan normal, aktif dan berbentuk normal. Ketika itu dia belum beristeri.

Dipendekkan cerita, selepas berkahwin, isterinya mampu hamil dan kini dia ada beberapa anak jadi anda tidak perlu risau dengan keadaan anda.

Anda kini hanya ada satu buah zakar yang dimasukkan ke dalam kerandut melalui prosedur pembedahan.

Satu lagi buah zakar yang tersangkut di dalam perut anda dibuang kerana mengalami kerosakan. Memandangkan ketumbesaran buah zakar berlaku dalam kerandut atau berdekatan kerandut dengan suhu yang kurang daripada suhu badan, sudah tentu ketumbesarannya tidak normal.

Anda juga menyatakan anda aktif secara seksual dan mampu mencapai ereksi dan ejakulasi. Ini petanda tahap hormon testosterone anda mantap dan cukup.

Begitupun, ia tidak bermakna anda mampu menghasilkan sperma atau benih.
95-97% air mani dihasilkan pundi prostat, pundi seminal, pundi Cowper dan pundi epididimis. Kilang sperma pula hanya menghasilkan 2-5% kandungan air mani!

Jadi, faktor pengeluaran air mani yang banyak bukan pengesahan anda subur atau mampu menghamilkan wanita. Paling penting dan utama ialah kemampuan anda menghasilkan sperma atau benih.

Ujian air mani akan mengetahui sama ada sperma anda aktif atau tidak. Tiada cara lain untuk membuktikan air mani anda mempunyai sperma. Anda boleh melakukannya pada bila-bila masa.

Jika ditakdirkan anda tidak mempunyai sperma aktif, kini dengan rawatan moden, proses kehamilan boleh tercapai dengan benih yang didermakan. Ini mengikut penerimaan dan kesesuaian agama masing-masing.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...