Dilema Lelaki Lembut

Spread the love

SAYA seorang lelaki ‘lembut’ yang mengambil pil hormon wanita sehingga membentuk buah dada dan struktur badan menyerupai wanita selama 3 tahun mula berhenti serta berubah kepada normal sejak setahun lalu, tetapi struktur badan saya berubah cuma buah dada saya masih jelas kelihatan.

Doktor, bagaimana hendak menghilangkan kesannya itu kerana saya sudah cuba pelbagai cara tetapi tetap sama dan berharap dapat nasihat pihak doktor untuk mengatasinya


RIN,

Kuala Lumpur

Hormon wanita membentuk tubuh badan wanita dan lelaki yang mengamalkan hormon wanita dalam jangka masa panjang akan juga kelihatan seperti wanita.

Hormon wanita ‘estrogen’ merangsang tumbesaran rangkaian salur susu, tumbesaran puting dan tompok coklat atau ‘areolar’ dan hormon ‘progesterone’ merangsang tumbesaran pundi susu dan lemak yang membentuk payu dara.

Selain itu, kedua hormon wanita itu memberi struktur tubuh badan perempuan serta kegebuan dan kelicinan kulit.

Jadi tidak hairan jika lelaki yang mengamalkan pengambilan hormon wanita untuk jangka masa lama seperti anda pernah lakukan itu akan mendapati sebahagian besar daripada perubahan akibat pengambilan hormon wanita itu masih kekal walaupun tidak lagi mengambil hormon tersebut.

Nampaknya anda sudah mencuba pelbagai cara untuk memulihkan keadaan struktur tubuh badan anda dan yang masih kekal ialah buah dada anda yang masih kelihatan macam payu dara perempuan. Jika tompok hitam itu kelihatan luas, mungkin dengan cara pembedahan sebahagian daripada tompok coklat itu boleh dibedah dan dibuang. Jika timbulan di bahagian puting itu besar, melalui cara pembedahan juga ia boleh dileperkan dan diperkecilkan.

Sebilangan lelaki yang mempunyai payu dara yang besar kadangkala mencuba suntikan hormon androgen atau hormon lelaki, testosterone dengan harapan bahagian itu dapat diperkecilkan melalui pengambilan suntikan itu.

Malangnya, ia tidak berlaku kerana hormon testosterone jika disalahgunakan boleh bertukar kepada hormon perempuan dalam badan lelaki dan buah dada boleh kelihatan besar.

Jadi tidak hairan lelaki yang membina badan yang menggunakan suntikan testosterone biasa akan mendapati buah dada mereka ‘besar’. Anda boleh cuba menambatkan buah dada anda dengan bengkung dada sambil membina otot dada supaya otot dada kelihatan tegap dan secara langsung akan membuatkan buah dada anda kelihatan ‘kecil’.

Jika tidak berkesan juga, nampaknya pembedahan saja jalannya. Untuk itu anda boleh rujuk kepada pakar bedah berkelayakan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...