Kencing Kotor

Spread the love

SAYA lelaki berumur 18 tahun. Sejak akhir-akhir ini, saya berasa sakit di pinggang dan ia terasa sangat pedih. Tiga bulan lalu, saya membuat pemeriksaan di hospital kerana sukar membuang air kecil.

Keputusannya, saya tidak mengalami apa-apa penyakit serius dan ia hanya disebabkan masalah air kencing kotor.

Sejak itu, saya mula bimbang kerana air kencing berwarna kuning dan kuantitinya tidak seimbang (terlalu sedikit dan terlalu banyak).

Saya juga kerap membuang air kecil dan perut menjadi keras. Apakah masalah sebenarnya yang saya hadapi?

AZROY

Muar, Johor

Anda mengalami simptom sakit bahagian belakang berdekatan kawasan buah pinggang, kencing berwarna kuning dan kandungannya tidak menentu.

Begitupun, anda sudah merujuk kepada doktor untuk menjalani pemeriksaan.
Kemungkinan doktor lakukan ujian kencing dan mendapati air kencing anda ‘kotor’, istilah am digunakan doktor untuk menjelaskan mengenai air kencing mengandungi kristal, sel dan kuman.

Doktor juga menjalankan ujian imbasan atau ‘scanning’ terhadap pundi kencing dan kawasan buah pinggang dan mungkin tidak nampak apa- apa yang luar biasa seperti batu karang.

Bagi saya, masalah anda kerana kencing kotor dan kini doktor anda memberi ubat sewajar untuk anda makan.

Secara amnya, doktor terbabit sudah mengendalikan masalah ‘kencing kotor’ anda. Kini, anda perlu makan ubat sehingga habis dan ikuti nasihat doktor.

Anda juga perlu minum air dengan secukupnya. Bagaimanapun, jangan risau jika simptom lain muncul, sebaliknya segera berjumpa doktor bagi mendapatkan kepastian dan rawatan mengenai penyakit terbabit.

Kencing kotor tidak berbahaya tetapi harus dirawat. Paling penting, jangan mendiamkan diri dan berusaha seterusnya sehingga penyakit anda terubat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...