Rahsia Zakar

 

Tempat cedera jadi lembik kerana patah


SAYA mengalami ‘fracture’ atau patah di bahagian zakar sejak lebih sebulan lalu. Yang merunsingkan saya ialah, ada kesan bengkak pada tempat patah itu.

Kesakitan akibat kecederaan itu sudah berkurangan, namun saya tidak mendapat ereksi penuh kerana pengaliran darah pada tempat kecederaan itu seolah-olah tersekat, menyebabkan kepala zakar menjadi lembik berbanding pangkalnya. Apakah cara terbaik untuk mengubatinya?




MOHD RAHMAD
Pulau Pinang




Nampaknya anda mengalami kecederaan tisu lembut anggota sulit anda. Istilah ‘fracture’ memang tepat kerana jika zakar yang patah itu keras seperti kayu, ‘kepatahan’ itu lebih ke pangkal, berdekatan penghujung dan dalam keadaan tidak begitu keras, maka kecederaan tidak ketara.

Apabila zakar bengkak, cara melegakannya adalah dengan menekap ais (seperti pek ais). Jika bengkak semakin ketara, lebih baik berjumpa doktor yang boleh memeriksa jika salur darah tercedera atau darah beku dalam otot zakar.

Dalam keadaan sakit dah kurang, tetapi penghujung zakar masih kelihatan kecut, ini menandakan otot penghujung zakar tidak kembang.

Mungkin apabila keradangan di bahagian itu reda, keadaan akan berubah. Jika anda biarkan tanpa dirawat, kemungkinan bahagian yang patah atau cedera itu boleh mengeras dan jika kekerasan ketara, zakar boleh bengkok apabila ereksi. Keadaan ini dikenali sebagai ‘Peyronie’s Disease’.

Saya syorkan anda jumpa pakar bedah atau urologis untuk pemeriksaan. Jika perlu, ujian ultrasound dilakukan doktor untuk mengesan jika salur darah turut tercedera.

Hasil pemeriksaan itu, baru boleh tahu rawatan susulan yang diperlukan.