Masalah Senak semasa zakar tegang

Spread the love

Suami saya menghadapi masalah kembung perut dan senak ketika ingin bersama terutama apabila alat kelaminnya hendak menegang. Apakah punca masalah itu dan adakan ia memudaratkan.

Zaleha
Jengka, Pahang

Perasaan teruja seseorang lelaki berlaku apabila mahu melakukan hubungan intim dengan isteri yang menyaksikan perubahan berlaku pada badannya.
Pergerakan badan dan otot boleh membuatkan pergerakan usus menjadi ketara sehingga terasa senak dan tidak selesa jika lelaki itu memang jenis mudah kembung perut.

Jika perubahan itu tidak ketara atau sederhana, dia masih mampu mencapai ereksi dan dapat melakukan seks. Jika kembung perut amat ketara dan membuatkan perut senak, ereksi boleh lemah dan hilang ketegangan.

Cara terbaik untuk lelaki yang mengalami masalah seperti itu dengan berjumpa doktor untuk menyelesaikan masalah ‘kembung perut’ atau dispepsia.

Apabila masalah itu diatasi, tetapi masih gagal untuk mencapai ereksi mencukupi, dia perlu menjalani rawatan masalah disfungsi erektil atau mati pucuk.

Kini dengan pelbagai ubat pelancar darah dan pengembang salur darah dalam zakar, masalah itu boleh diatasi.

Mustahak dapatkan ubat dari doktor dan bukan dari tabib atau sesiapa yang tidak bertauliah kerana kini terdapat pelbagai ubat kuat atau kopi kuat yang mengandungi racun dan kimia perosak kesihatan.

Malah, berurut bukan jalan menyelesaikan masalah kembung perut dan mati pucuk. Ia boleh memberatkan lagi keadaan jika bahagian diurut itu disalah taksir kerana tidak membuat pemeriksaan badan dan lantas diurut tanpa mengetahui masalah sebenar.

Saya syorkan anda bawa suami berjumpa doktor atau dirujuk kepada pakar jika masalah kembung perut itu tidak selesai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...