Rahsia Zakar

 

Pil tambah sperma


 

SOALAN

SAYA ada masalah jumlah sperma dan sehingga sekarang masih belum memiliki cahaya mata. Saya pernah mencuba Tribestan tapi kurang berjaya. Baru-baru ini saya terbaca mengenai pil yang boleh meningkatkan jumlah sperma. Antaranya adalah Volume Pills dan Semenax. Saya ingin mendapat pendapat doktor, adakah ubat ini boleh meningkatkan jumlah sperma?


AHMAD
Seputeh, Kuala Lumpur


JAWAPAN


Lelaki menghasilkan benih bergelar sperma yang dihasilkan kilang sperma dalam buah zakar. Saiz buah zakar mempengaruhi bilangan sperma dan saiz melebihi 12 ml dianggarkan isi padu buah zakar yang sihat dan kurang dari itu mungkin menghasilkan kurang atau tiada sperma.

Kandungan sperma dalam air mani ialah antara dua hingga lima peratus (%). Sebilangan besar isi padu air mani ialah cecair dari pundi Prostat (60—70%) dan yang lebih dari pundi seminal, pundi cowpers dan pepundi dalam salur kencing selain cecair dari pundi epididimis.

Pemeriksaan kesuburan untuk lelaki termasuk pemeriksaan anggota sulit dan buah zakar serta ujian air mani.

Jika ada kekurangan bilangan sperma atau masalah kepada profil sperma seperti sperma kurang aktif atau sperma tidak berbentuk normal, pemeriksaan susulan akan dilakukan seperti ujian hormon dan jika perlu biopsi buah zakar (pengambilan secebis tisu dari kedua-dua buah zakar).

Ubat herba yang anda makan, Tribestan mengandungi ekstrak herba yang dikenali sebagai Tribulus dan herba ini hanya mempengaruhi peningkatan hormon DHEA. Ada juga kes yang mana bilangan sperma yang kurang dapat dipertingkatkan jika buah zakar itu tidak rosak.

Berhubung herba jenama lain, saya kurang pasti tindak balasnya. Ekstrak Tongkat Ali yang larut dalam air didapati dapat meningkatkan tahap hormon testosterone selain merangsang kilang sperma secara langsung.

Tongkat Ali jenama NU- PREP, Phytoandro dan Beiklin mengandungi ekstrak itu, tetapi mustahak untuk anda menjalani pemeriksaan fizikal dan ujian hormon selain ujian air mani sebelum mencuba apa-apa herba.