Risau Air Mani tiada Sperma

Number of View: 0

Soalan

SAYA berusia 38 tahun dan sudah lebih dua tahun berkahwin, tetapi belum dikurniakan cahaya mata.

Baru-baru ini saya menjalani pemeriksaan kesuburan dan doktor memberitahu air mani saya tiada sperma. Puncanya buah zakar saya rosak dan saiznya mengecut daripada normal.

Doktor berkenaan tidak pasti punca kerosakan buah zakar saya, tetapi bagi saya mungkin berpunca daripada memakai seluar ketat.

Doktor itu berterus terang mengatakan saya tiada harapan untuk mendapat zuriat sendiri. Bagaimana pendapat doktor?

TERUNG
Kuala Lumpur

Jawapan

SIAPA yang tidak mahukan anak? Lebih-lebih lagi daripada zuriat sendiri. Jika diizinkan Tuhan, segala impian itu akan termakbul.

Adalah penting bagi mana-mana pasangan yang lama berkahwin berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan sekiranya isteri masih belum hamil.

Pemeriksaan yang akan dilakukan kepada suami ialah pemeriksaan fizikal untuk mengetahui sama ada anggota reproduktif suami sihat atau tidak. Selepas itu ujian air mani akan dilakukan untuk mengetahui sama ada dia mampu menghasilkan sperma atau tidak.

Sperma itu pula akan diperiksa sama ada ia sihat, berbentuk normal, aktif dan bilangannya mencukupi. Jika perlu pemeriksaan susulan seperti ujian hormon dan pembedahan kecil akan dilakukan kepada buah zakar (testicular biopsy) untuk mengambil secebis tisu bagi meneliti kilang sperma sama ada ia normal atau tidak.

Biasanya ujian air mani dilakukan berulang dalam tempoh beberapa minggu. Jika pada ujian kali ketiga masih tiada sperma, sahlah air mani itu tidak mengandungi sperma.

Oleh itu, pemeriksaan susulan seperti penyukatan hormon kesuburan FSH akan dilakukan dan jika perlu pembedahan biopsi buah zakar juga perlu dilakukan. Jika semua ujian ini menunjukkan kilang sperma tiada atau rosak, kemungkinan mendapat zuriat sendiri memang tiada.

Pemeriksaan kedua-dua buah zakar dengan menggunakan alat Orkidometer atau alat pengukur buah zakar dapat memberi gambaran mengenai kedudukan buah zakar itu dari segi kemampuan kilang sperma.

Ukuran kurang dari 12 cc menandakan ia mempunyai masalah. Kadang-kadang isi padu buah zakar normal tetapi tiada sperma. Keadaan sebegini memerlukan pemeriksaan susulan seperti ujian tahap hormon FSH dan kadang-kadang pembedahan biopsi buah zakar untuk mengenalpasti kedudukan kesuburan lelaki itu.

Punca kenapa lelaki itu tidak subur atau tidak menghasilkan sperma memang banyak. Antaranya, masalah baka dan ia memang sukar dipulihkan.

Kerosakan buah zakar juga boleh berlaku akibat kecederaan. Selain itu jangkitan kuman dan virus (seperti virus beguk) boleh mengakibatkan keradangan dan kerosakan kilang sperma. Pendedahan kepada bahan kimia seperti racun rumpai, racun serangga (DDT), pancaran sinar-x dan kimia anti kanser juga boleh merosakkan buah zakar.

Begitu juga dengan buah zakar yang terdedah kepada suhu tinggi seperti bahang dari alat kimpalan atau ketuhar. Sebahagian besar sebab kilang buah zakar rosak tidak diketahui.

Memang sukar mengesan masalah sebenar. Bagaimanapun jika tiada penawar, kedua-dua pasangan boleh mengambil anak angkat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...