Suami Songsang

Spread the love

Mengenai alam berumah tangga, tentu banyak perkara baru dihadapi pasangan dan begitu juga dalam melakukan hubungan kelamin, mungkin kerana kurangnya pengetahuan.

Bagaimanapun, saya pasti semua pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga akan menjalani kursus praperkahwinan dan tentu perkara mengenai nafkah zahir dan batin, termasuk aspek hubungan kelamin, diterangkan secara ringkas.

Jadi tiada sebab mengapa pasangan buat tidak tahu mengenai keperluan nafkah batin yang anda perlukan dan sekurang-kurangnya dia perlu tunaikan tanggungjawabnya.

Namun saya pasti ada ramai lagi wanita yang dibelenggu dan menderita dalam diam kerana masih tidak mendapat belaian daripada suami seperti sepatutnya.

Bagi saya, lelaki yang tidak melayan isterinya hanya mahukan teman hidupnya sebagai bahan tayangan atau ‘showcase wife’. Jadi kebanyakan daripada mereka memang baik daripada segi perangai tapi tidak berhati perut.

Sebilangan mereka sihat belaka dan mereka hanya ikut angin mereka. Jika nak buat, baru buat dan jika tidak, dia buat tidak tahu walaupun pasangan begitu inginkan hubungan intim.

Sudahlah begitu, mereka tidak suka pula bermesra dan jarang peluk atau mencium pasangan mereka. Jika pasangan tidak meminta, mereka akan buat tidak tahu saja.

Ada juga yang tidak dapat ‘berfungsi’ tapi besar hati mahu kahwin. Yang menjadi mangsa adalah isteri apabila terperangkap tanpa belaian seksual suami.

Suami terbabit hanya mencurahkan kekayaan dan kemewahan kerana sebahagian besar daripada golongan itu adalah orang kaya dan ternama.

Dalam situasi ini, sukar untuk buat sesuatu kecuali diri sendiri yang membuat pilihan, sama ada mahu laporkan perkara itu kepada pihak berkaitan atau membiarkannya.

Mungkin sebelum ini tidak ramai wanita terpelajar dan mudah dikongkong suami. Kini ramai wanita bijak pandai dan tahu hak mereka serta pantas bertindak.

Ada juga sebilangan kecil lelaki yang mahu melindungi sifat songsangnya dengan berkahwin, tapi sebaliknya lebih gemar beronani, menonton video lucah atau melakukan hubungan sumbang dengan lelaki lain.

Mereka hanya melayan isteri jika terdesak, dan itu pun secara paksaan. Saya terpaksa mendedahkan semua telatah lelaki yang sumbang ini supaya perempuan tidak mudah ‘terjerumus’ kepada lelaki bergelar suami yang tidak bertanggungjawab terbabit.

Suami terbabit perlu sedar apa yang mereka lakukan adalah penganiayaan terhadap perempuan. Saya syorkan isteri yang menghadapi situasi seperti itu supaya berdepan suami.

Minta suami ubah sikap yang mementingkan dirinya dan lakukan perkara baik demi keharmonian rumah tangga. Jangan biarkan dia fikir kerana sudah dapat, seseorang wanita itu tidak akan buat apa-apa.

Kini ada banyak khidmat kaunseling yang diberi badan kerajaan dan bukan kerajaan yang membolehkan mangsa mendapat bimbingan dan bantuan.

Saya harap sesiapa yang menghadapi masalah seperti itu dapat menemui jalan penyelesaian dan berdoa si suami dapat buka pintu hatinya untuk memberi kepuasan hidup kepada isteri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...