Rahsia Zakar

 

Suami mudah kecundang


 

SAYA ibu kepada tiga orang cahaya mata. Selepas tiga tahun menjanda, saya berkenalan dengan seorang pemuda yang muda enam tahun daripada saya. Kami sudah berkahwin hampir 10 bulan.

Masalah saya, suami semakin lemah dalam melayani keperluan seks saya. Ketika baru bernikah, dia dapat memuaskan segala tuntutan batin saya, hinggakan ada ketika kami boleh ‘belayar’ lebih enam kali sehari.


Keinginan seks saya memang tinggi serta lambat mencapai klimaks. Sekarang suami tidak dapat memenuhi keinginan saya seperti dulu.

Adakah suami saya akan menjadi lemah syahwat apabila kerap melakukan seks? Keinginan seksnya juga tinggi, tetapi dia tidak mampu bertahan lebih lama.

Sejak bernikah dengannya juga, saya mengamalkan pil perancang. Adakah itu akan menyukarkan saya mendapatkan zuriat jika mengambilnya dalam jangka masa panjang?

Memandangkan usia saya semakin meningkat dan suami masih muda, saya bimbang jika pengambilan pil perancang itu menyebabkan kami gagal mendapatkan zuriat.



LIZA



Tahniah kerana anda dapat membuka pintu hati kepada lelaki selepas tiga tahun menjanda.

Memandangkan suami anda mampu mencapai ereksi dan dapat melakukan hubungan seksual, bererti dia tidak mengalami masalah seksual, kecuali kemampuan seksualnya tidak setaraf dengan anda.

Mungkin anda perlu mengawal kekuatan nafsu seksual mengikut kemampuan syahwat suami.

Dalam masa sama, anda boleh membantunya membina semangat dan kekuatan seksual iaitu melalui penjagaan pemakanan, amalkan gaya hidup sihat dan elakkan tabiat merokok yang boleh menekan kualiti ereksi.

Anda juga boleh menggalakkan suami melakukan aktiviti seksual alternatif kepada anda bagi rangsangan seksual seperti seks oral dan penggunaan peralatan seks atau ‘sex aids’.

Kini, alat berkenaan boleh dibeli melalui Internet.

Meminta pasangan melakukan hubungan seks di luar kemampuan seolah-olah melakukan penderaan seks.

Jika anda sayangkan suami, anda perlu kawal kehendak seksual mengikut selera suami.

Ketika berintiman dengan suami, galakkan suami anda secara manja dan bukan dengan paksaan atau dalam keadaan marah.

Jika suami tertekan, dia akan hilang kawalan ejakulasi dan tidak dapat bertahan lama. Lama kelamaan, suami akan mengelak melakukan seks bersama anda nanti.

Mengenai merancang keluarga dengan pengambilan pil perancang, kaedah ini selamat dan tidak mengganggu kesuburan.

Anda perlu sedar, apabila anda lebih berumur daripada suami, kesuburan anda boleh menurun berbanding pasangan.

Jadi jika anda dan pasangan berhajat mendapatkan cahaya mata, jangan tunggu lagi. Semakin berumur, lagi sukar seseorang wanita hamil.