Rahsia Zakar

 

Suami beronani pentingkan diri sendiri


 

Saya seorang suami berusia 27 tahun dan mempunyai tiga anak. Masalah saya sejak akhir-akhir ini nafsu seks saya semakin menurun dan saya lebih suka beronani daripada bersama isteri. Apakah ia akan memberi kesan kepada diri saya. Saya perhatikan kerandut saya besar sebelah. Apakah keadaan ini normal atau sebaliknya.


SUAMI PASRAH
Kajang, Selangor




Satu keburukan beronani ialah pengamalnya akan bergantung kepadanya untuk melepaskan perasaan nafsu dan syahwat walaupun sudah beristeri. Mendapat bantuan isteri untuk merangsangkan anggota syahwat dengan tangan isteri diizinkan dalam Islam jika isteri uzur tetapi selain daripada itu tidak digalakkan.

Jadi amalan onani tanpa bermesra akan menjauhkan lelaki itu daripada isterinya dan jika ini berpanjangan keadaan rumah tangga akan porak-peranda. Jika lelaki itu ada masalah seksual, dia perlu mendapat rawatan sewajar jika tidak masalah itu akan menjadi berat.

Perasaan seksual hanya berputik jika kedua-dua pasangan itu mesra antara satu sama lain dan bergantung antara satu sama lain untuk ketenangan jiwa dan emosi.

Apabila komunikasi antara mereka rancak dan dapat menghuraikan apa juga perbalahan rumah tangga dan bekerjasama tanpa mementingkan diri sendiri, hubungan mereka akan sentiasa selesa dan mereka tidak perlu bersendirian untuk mendapat ketenangan jiwa.

Jika beronani sendiri dan mengelakkan diri untuk intim dengan pasangan, itu bermakna individu itu hanya pentingkan diri sendiri dan tidak prihatin dengan pasangan.

Jadi jika dia telah dapat keseronokan dengan cara sedemikian macam mana pula dengan pasangannya. Tanpa kemesraan dan keintiman, jiwa isteri akan tertekan dan ini akan memberi tekanan keseluruhan kepadanya. Sepatutnya perkara ini tidak harus berlaku jika pasangan memainkan peranan dan bermuafakat dalam urusan keintiman seksual.

Perasaan dingin boleh berlaku kepada lelaki dan perempuan jika mereka yang mahukan sedemikian. Tepuk sebelah tangan tidak berbunyi, jadi mustahak untuk pasangan itu ketepikan kekusutan hubungan dan mencari penyelesaian.

Jika mereka ada masalah dan tidak dapat menghuraikannya mungkin boleh jumpa pembimbing perkahwinan untuk bantuan. Dengan minda terbuka tidak ada sebab masalah mereka tidak dapat diatasi.

Memang dalam keadaan tegang pintu penyelesaian tertutup, tetapi apabila kedua-duanya benar-benar memberi tumpuan pada masalah yang dialami, pintu penyelesaian akan terbuka.

Soal kerandut buah zakar, jika sebelah berkeadaan lebih kendur dari yang lagi satu dan perkara itu biasa untuknya, keadaan itu biasa. Jika perubahan ini menjadi ketara sejak kebelakangan ini kemungkinan ada masalah kebengkakkan atau masalah lain. Jika was-was jangan teragak-agak untuk menjalani pemeriksaan doktor.