Tidak Perlu Cuba Sebelum Kahwin

Spread the love

SEMEMANGNYA nafsu seks dan naluri syahwat itu fitrah semula jadi semua makhluk Tuhan. Tuhan menganugerahkan tubuh badan yang lengkap dan dapat berfungsi dengan sempurna untuk menunaikan fungsi reproduksi.
Manusia diberi akal supaya dapat menggunakannya dengan bijak untuk menjalankan tanggungjawab dalam kehidupan, termasuk menghasilkan zuriat dengan pasangan pilihan.

Sistem reproduksi mula aktif apabila manusia sudah akil baligh. Jika hubungan seksual dilakukan dalam usia muda, kemungkinan kehamilan berlaku sangat tinggi memandangkan ketika itu proses pembangunan reproduktif sungguh mantap.

Justeru, tidak hairan jika kita dengar perempuan yang baru saja baligh dan berusia sembilan tahun pun boleh hamil dengan pasangan lelaki yang juga muda seawal usia 12 tahun.

Ini berlaku kerana nak mencuba. Bayangkan anda menjadi bapa pada usia sedemikian, apa agak rasanya? Bagaimana pula dengan tanggungjawab yang perlu dijalankan.

Sudah tentu buntu. Mungkin ketika itu mereka tidak terfikir perkara seperti itu boleh berlaku dan mungkin mereka tidak tahu dan tidak pernah diberi tahu kerana umur yang muda.

Jika mereka berdua dapat sedikit maklumat mengenai kehidupan, gaya hidup dan tanggungjawab kepada diri dan orang yang disayangi, tentu mereka tidak akan buat perkara itu dan tidak akan mudah terpengaruh untuk mencuba.

Sebab itu ingin saya katakan, lebih baik seseorang itu mendirikan rumah tangga dan seterusnya menjalin hubungan seks dengan isteri apabila dewasa kerana sudah matang dan lengkap dengan pendidikan dan pelajaran.

Seseorang itu tidak perlu mencuba (lakukan hubungan seks luar nikah) untuk mengetahui sama ada fungsi seksnya normal atau sebaliknya.

Ingin saya nasihatkan, jika badan sihat, mencapai ereksi waktu awal pagi yang kekal dan mengalami mimpi basah (ejakulasi dalam mimpi) atau ejakulasi ketika merangsang anggota kelamin, seseorang itu pasti mempunyai fungsi syahwat dan ereksi yang sihat.

Mungkin cabaran jika masih lagi ‘teruna’, pastinya ketika berdampingan dengan pasangan, sama ada dapat melakukan hubungan seksual bersamanya atau tidak. Sedangkan lelaki yang pernah menjadi ‘hero’ pun gagal kerana tidak tahu menjalankan fungsi.
Yang mustahak adalah keyakinan diri dan kerjasama antara pasangan untuk menjayakan hubungan intim. Jika kedua-duanya gagal, mereka perlu berjumpa pakar.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...