Tidak Tahu Anatomi Zakar

Spread the love

DALAM pelbagai kes yang saya kendalikan mengenai lelaki, saya dapati sebilangan besar tidak tahu mengenai bahagian atau ‘anatomi’ anggota kelamin mereka.

Mereka tidak tahu keadaan anggota kelamin iaitu seperti yang mana satu buah zakar, kerandut atau kantung buah zakar serta tidak tahu mengenai zakar atau keadaannya ketika berehat dan teruja.
Bagaimanapun, lelaki mula memeriksa alat kelamin ketika bakal mendirikan rumah tangga. Bermula daripada situ, mereka seakan- akan panik apabila memeriksa anggota kelamin kerana kurang pengetahuan mengenainya.

Paling menarik, mereka sering bertanya rakan taulan atau lebih suka merujuk kepada tukang urut berbanding doktor dan pakar.

Pendapat saya, tukang urut tidak tahu secara tepat dan terperinci mengenai struktur dan bahagian anggota kelamin lelaki, malah suka mereka pelbagai cerita karut.

Mereka juga percaya jika kantung tidak seimbang, itu tandanya lelaki terbabit tidak sihat atau ia tanda angin pasang.

Mereka juga percaya jika zakar yang kelihatan kecil kalau ditarik akan terjuntai! Malah, amalan ini boleh merosakkan zakar!

Namun, ingin saya dedahkan di sini, semua yang disebut di atas adalah tidak benar.

Jangan merujuk kepada tukar urut, sebaliknya cari doktor dan pakar dalam bidang ini.

Dalam satu kes, pesakit saya menyatakan buah zakarnya kelihatan kecil. Dia juga mendapati kerandutnya boleh mengembang dan mengecut mengikut cuaca dan khuatir ia ada kena mengena dengan angin pasang atau hernia.

Untuk menjawab semua kemusykilan ini, lelaki harus tahu mengenai anggota kelamin mereka.

Anggota kelamin lelaki dibahagikan kepada bahagian luar (yang jelas kelihatan) dan bahagian dalam (di dalam badan).

Bahagian luar membabitkan zakar dan kerandut atau kantung buah zakar yang mengandungi sepasang buah zakar.

Ukuran buah zakar lelaki dewasa tidak kurang daripada ¾ saiz ibu jari kaki atau sebesar ibu jari tangan. Kerandut buah zakar pula mengandungi lapisan otot yang membuatkan kerandut mudah mengecut atau melebar dan mengembang. Jadi keadaan kerandut berubah-ubah itu adalah normal.

Buah zakar diselaputi otot ‘kremester’ dan ia mudah tertarik ke atas apabila otot itu mencengkam.

Zakar pula akan kecut dan mengecil jika di dalam keadaan biasa dan kadangkala terbenam untuk lelaki gemuk.

Apabila teruja seks, zakar memanjang, menegang atau keras. Sesetengah lelaki mempunyai jenis zakar yang kelihatan terjuntai.

Ketika erek, perubahan saiz tidak terlalu ketara jika dibandingkan dengan zakar kecil dan terbenam yang kelihatan besar dan memanjang ketika erek.

Jangan cuba bandingkan alat kelamin anda dengan paparan dan maklumat di Internet kerana ia tidak semestinya tepat.

Namun, jika anda benar-benar musykil dan ingin tahu lebih mendalam mengenai alat kelamin, saya sarankan anda berjumpa doktor.

Sudah pasti, maklumat diberikan lebih tepat dan jitu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...