Rahsia Zakar

 

Bengkak sebelah


 

SOALAN

BARU-BARU ini suami saya mendapati buah zakarnya bengkak sebelah, Dia berasa sungguh sakit sehingga kakinya tidak dapat diangkat.


Dia diberi suntikan dan keadaan itu reda selepas empat hari mengambil ubat. Bagaimanapun, dia masih rasa sakit dan ada kalanya senak di bahagian perut dan buah zakarnya.

INGIN TAHU
Klang, Selangor


JAWAPAN


Buah zakar mempunyai penggantung sendiri dikenali sebagai ‘spermatic cord’ yang mengandungi salur sperma, pembuluh darah dan urat saraf serta lapisan otot.

Apabila otot ini mencengkam, buah zakar tertarik ke atas. Ada kalanya tarikan itu kuat dan boleh menyebabkan lelaki itu terasa senak dan ini jarang berlaku.

Ada kalanya bahagian ini besar kerana wujud gumpalan usus yang termasuk ke dalam kerandut melalui pembukaan antara kerandut dan perut, di mana keadaan ini dikenali sebagai hernia atau angin pasang.

Jika benda besar dalam kerandut itu dipicit, akan terasa seperti angin dan ada kalanya ia mengempis tetapi akan kelihatan mengembang kembali.

Keadaan ini dikenali sebagai angin pasang surut. Jika ia tidak surut, itu bermakna usus itu kekal dalam kerandut dan tidak dapat masuk balik ke dalam perut walaupun apabila dipicit.

Ada kemungkinan usus itu boleh terpulas dan jalanan produk makanan yang dihadam akan terkandas dan tidak dapat bergerak ke bawah untuk keluar sebagai najis.

Jika ini berlaku, lelaki itu akan mengalami kesakitan di bahagian kerandut dan perut yang serius.

Masalah yang suami anda alami itu mungkin hernia, jika itu yang doktor nyatakan pada anda. Hernia hanya boleh dikendalikan melalui pembedahan pemulihan dan tiada cara lain.

Cara pemulihan ialah melalui pembedahan, yang mana usus yang terkandas dalam kerandut akan dimasukkan kembali ke dalam perut dan bahagian pembukaan antara perut dan kerandut akan ditutup.

Jika apa yang suami anda alami itu lain, mungkin dia perlu dapat penyelesaian sepatutnya dan bukan sekadar mendapat kelegaan seketika yang mana masalah sama boleh berulang.

Jika masalah yang suami anda alami menyakitkan, sudah tentu ini menjejas kemampuannya untuk melakukan hubungan seksual memandangkan kesakitan itu berlaku dekat anggota sulitnya.

Jika masalahnya ada kaitan dengan buah zakar, kemungkinan buah zakar yang radang tidak dapat berfungsi dengan baik dan kilang sperma boleh terjejas kemudian hari.

Lebih baik dia jumpa pakar bedah jika bengkak itu kekal dan menyakitkan, dan doktor pakar dapat menyelesaikan masalah suami anda jika bengkak itu hernia.

Jangan sekali-kali berjumpa tukang urut kerana jika hernia atau apa-apa organ yang bengkak itu diurut, nescaya akan menjadi lebih mudarat.