Elak Bersama sebab Sakit Kepala lepas Klimaks

Spread the love

SAYA suami berusia 36 tahun yang mempunyai dua anak. Kehidupan seksual saya sebelum ini tiada masalah dan isteri tidak pernah menyuarakan rasa tidak puas hatinya kepada saya.

Namun masalah baru timbul dalam hubungan suami isteri kami sejak kebelakangan ini. Ia berpunca daripada saya kerana sering mengelak melakukan hubungan seks dengan isteri.

 

Ini kerana setiap kali bersama isteri, saya mengalami sakit kepala yang teramat sangat, lebih-lebih lagi ketika mencapai klimaks, malah ia berlanjutan antara satu hingga lima jam sebelum beransur-ansur.

Secara tak langsung ia menjejaskan prestasi saya di tempat kerja kerana rasa mengantuk disebabkan tidak cukup tidur. Saya khuatir perkara ini menjejaskan keharmonian rumah tangga saya sekarang.

Kadangkala tak dinafikan naluri lelaki saya memuncak, tetapi bila teringatkan masalah itu saya cuba mengelak melakukannya.

WADI

Kota Bharu, Kelantan

Biasanya kita dengar wanita mengelak persetubuhan kerana ‘sakit kepala’, tapi kali ini lelaki pula alami masalah itu.

Jadi sebelum si isteri naik angin kerana suami tak mahu melakukan hubungan seks kerana takut sakit kepala, dia perlu tahu yang perkara ini, walaupun jarang berlaku kepada lelaki, tetap boleh berlaku dan perlu dirujuk kepada doktor sebelum lebih mudarat.

Pening kepala ketika dalam klimaks ada kaitan dengan tekanan yang berlaku kepada badan itu akibat usaha dan daya badan ketika individu itu bersetubuh.

Mungkin melegakan tekanan badan ketika bersetubuh dapat mengurangkan berlaku pening kepala atau sekurang-kurangnya dapat meringankan kesakitan pening kepala ketika klimaks.

Kajian mendapati proses sebelum klimaks yang berlaku ketika lelaki bersetubuh seperti peningkatan tekanan darah, peningkatan pernafasan dan degupan jantung mengakibatkan urat saraf menghasilkan kimia yang boleh menyebabkan saluran darah di otak berjalan lancar ketika klimaks.

Ini sedikit sebanyak memberi perasaan pening kepala yang biasa dikenali sebagai ‘klimaks cephalalgia’ itu. Untuk permulaan, disyorkan lelaki itu amalkan gaya hidup sihat, henti merokok dan lakukan senaman berkala.

Dalam keadaan badan sihat dan tegap, daya dan usaha badan berlaku dengan senang dan tenang.

Ketika melakukan seks, digalak melakukannya dengan pergerakan perlahan dan mencapai klimaks yang sederhana serta boleh makan ubat penahan sakit seperti panadol sejam sebelum bersetubuh dan jika ini tidak berkesan, dia boleh jumpa doktor untuk rawatan lebih berkesan.

Mana tahu jika anda dapat bersabar dan teruskan menghayati nikmat seks yang Tuhan beri kepada anda, fenomena ini akan hilang secara tiba tiba.

Bagaimanapun, dapatkan pemeriksaan doktor jika tips yang diberitahu itu kurang berkesan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...