Kudis pada zakar jangkiti pasangan

Spread the love

Herpes jangkiti pasangan

Gelembung, ruam atau kudis boleh berlaku pada anggota kelamin lelaki yang biasanya muncul pada mana-mana bahagian, termasuk dekat pembukaan lubang kencing.

Baru-baru ini, seorang lelaki beritahu, dia me­ngalami kulit seakan-akan melecur pada hujung zakar dan kini meng­gelupas. Perkara ini merisaukannya walaupun selepas mendapat rawatan doktor.
Kesan seakan-akan melecur mungkin jangkitan herpes dan biasanya kudis sebegitu mengambil masa untuk kering dan pulih.

Jika jangkitan kuman atau kulat lain, tentu rawatan diberi doktor tidak berkesan. Namun, tindakan berjumpa doktor adalah tepat meskipun ragu-ragu dengan jawapan diberi.

Adakala doktor sukar mengenali penyakit sebenar kecuali melalui ujian tertentu. Jangkitan virus herpes boleh diketahui melalui ujian darah. Jika menghidapi jangkitan herpes, penyakit terbabit boleh menjangkiti pasangan.

Ia boleh diketahui jika pasangan mengalami perubahan sama seperti perubahan kulit yang menyebabkan kesakitan, kulit gelembung dan ruam.

Setiap lelaki perlu ada sedikit sebanyak ilmu mengenai penyakit itu supaya tahu apa perlu dilakukan dalam keadaan tertentu.

Kudis pada anggo­ta kelamin boleh muncul sebagai satu kudis atau berkumpul sebagai beberapa kudis di bahagian sama atau berdekatan.

Ia boleh muncul seperti tanda kemerahan pada kulit atau kulit terasa sengal atau gatal dan kemudian menggelupas atau meng­gelembung. Jika kudis terkena air akan terasa sakit.

Biasanya, kudis zakar dikaitkan dengan pelbagai jangkitan kuman, virus atau kulat penyakit kelamin kerana hubung kaitnya dengan hubungan kelamin.

Jika kebetulan pesakit itu menghidapi jangkitan HIV, kesan jangkitan kulat serta kuman virus kepada kulit boleh menjadi lebih ketara dan lebih teruk.

Namun, tidak semestinya semua kudis pada anggota kelamin akibat kuman penyakit kelamin. Jika kebetulan lelaki itu mengamalkan seks oral, mungkin gigitan pasangan boleh mencetuskan jangkitan daripada kuman dalam mulut.

Kadangkala, alahan boleh mencetuskan reaksi kepada kulit zakar dan mengakibatkan kulit meng­gelembung. Jarang kudis terjadi akibat jangkitan penyakit tibi kulit dan kanser kulit.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...