Saiz zakar lebih kecil dari lelaki lain

Spread the love

KETIKA sekolah menengah, saya menyedari bentuk zakar saya berbeza, malah saiznya lebih kecil daripada lelaki lain. Lebih merisaukan, lubang zakar pula pada pangkal zakar dan bukan di hujung kepala zakar seperti normal.

Kini saya berusia awal 20-an dan perkara ini sangat merunsingkan. Ia sering menjejaskan emosi dan aktiviti harian saya. Sehingga hari ini, saya masih takut untuk menjalin hubungan cinta dan hilang keyakinan diri. Adakah saya masih boleh dirawat?

INGIN NORMAL
Perak

images-36Anda mendapati anggota kelamin tidak normal seperti lelaki lain, tetapi anda mendiamkan diri untuk tempoh lama. Sebenarnya, kecacatan itu boleh menyulitkan masa depan anda pada kemudian hari dan jika anda berkahwin.

Untuk memendekkan cerita, anda memilih untuk tidak membuat apa-apa hingga ke hari ini. Alhamdulillah, anda terbuka hati untuk bercerita kerana mengharapkan masalah anda ada penawarnya.

Masalah yang anda alami ialah salur kencing tidak terbuka di penghujung kepala zakar tetapi di bawah, iaitu di pangkal atau pertengahan batang zakar dan keadaan ini dikenali sebagai ‘Hypospadias’.

Anda juga akan mendapati masih mampu mencapai ereksi. Cuma, ereksi anda melentuk ke bawah. Ada juga keadaan yang mana penghujung atau kepala zakar melentuk ke bawah dalam keadaan biasa, seolah-olah bahagian itu tertarik ke bawah dan situasi ini dikenali sebagai ‘cordee’.

Dalam keadaan begitu, ketika ereksi, penghujung zakar melentuk secara ketara di bawah dan menyukarkan hubungan seksual. Pendek kata, masalah kecacatan anggota kelamin anda perlu diteliti dan dikenal pasti supaya doktor dapat memahaminya secara menyeluruh dan ia dapat dipulihkan atau diperbetulkan melalui pembedahan pemulihan.

Proses pembedahan pemulihan tertakluk kepada tahap kecacatan. Ada kes lelaki yang mengalami kecacatan hipospadias ringan, iaitu pembukaan lubang kencing di bawah kepala zakar atau pertengahan zakar, masih dapat melakukan seks secara normal dan memancutkan air mani ke dalam faraj.

Kes sebegini mungkin tidak perlu dirisaukan kerana keadaan itu tidak mengganggu hubungan kelamin dan kesuburan. Jangan derita dalam sepi. Jumpa doktor secepat mungkin untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan penyelesaian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...