Tahap Upaya Beri Nafkah Batin

Spread the love

SETIAP orang dewasa ada keinginan dan nafsu. Apabila nafsu syahwat mula membuak, itu antara tanda sampai masanya untuk seseorang itu berkahwin. Keadaan itu normal bagi seseorang individu dan ia sebahagian putaran kehidupan.

Bagaimanapun, cuba bayangkan jika seseorang itu, terutama lelaki, dilahirkan sebagai seorang yang ‘istimewa’ seperti kekurangan dalam aspek intelektualnya. Lalu, dia diaturkan berkahwin oleh keluarganya.


Mungkin ramai akan tertanya-tanya mengenai keinginan syahwatnya dan timbul persoalan adakah dia mampu memberi nafkah batin kepada isteri secukupnya. Ini kerana, daripada segi pemikiran dia tidak dapat bertindak seperti orang normal.

Individu seperti itu juga mungkin tidak dapat membawa dirinya sebagai suami dalam erti kata sebenarnya, termasuk keperluan batin isteri.

Sebelum berkahwin, insan istimewa ini juga mungkin tidak pernah terfikir mengenai hubungan seks antara suami isteri dan kepentingannya. Ia mungkin berlanjutan selepas perkahwinan kerana tidak tahu mengenai tanggungjawabnya sebagai suami.

Kemungkinan suami tidak tahu melakukan hubungan seksual atau mengalami mati pucuk prima boleh menyebabkan si isteri kecewa dan perkahwinan itu berkemungkinan berakhir dengan perceraian.

Ini kerana sejak berkahwin suami tidak pernah melakukan persetubuhan, mungkin hanya sentuhan.

Bagaimanapun, insan istimewa itu tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana mungkin sepanjang hidupnya dia tidak pernah mencapai ereksi secara spontan atau tidak pernah mengenali apa itu ereksi.

Dia mungkin hanya tahu zakarnya kadangkala membesar, terutama waktu bangun tidur. Mungkin keluarganya dapat melihat ereksinya ketika dia nyenyak tidur dan menganggap perkara itu petanda dia sihat.

Namun, ereksi itu ialah ‘ereksi refleksi’ ketika lelaki tidur nyenyak yang menandakan fungsi zakar sihat. Untuk menggunakan zakar ketika bersetubuh, minda perlu terangsang dan mesej perlu sampai ke zakar supaya salur darah otot zakar mengembang.

Jadi macam mana hendak melakukan hubungan seks dengan pasangan, sedangkan dia tidak pernah mencapai ereksi. Jika ini berterusan dan tiada tindakan diambil, lambat laun hubungan suami isteri menjadi hambar.

Saya pernah memeriksa lelaki yang lembap mentalnya dan berkahwin atas pilihan keluarganya, tetapi pandai memainkan tanggungjawab sebagai suami penyayang.

Selepas berkahwin dua tahun, si isteri mengadu kepada ibu mentua yang suaminya tidak pernah melakukan persetubuhan, hanya pegang dan pelukan intim. Perkara itu dimaklumkan kepada bapa suami yang akhirnya membuat temujanji dengan saya kerana mengesyaki anaknya mati pucuk.

Mengikut isterinya, suaminya tidak pernah mencapai ereksi sewaktu bersentuhan badan, tetapi ketika tidur ereksi spontan kerap berlaku. Bagaimanapun, setiap kali suami tersedar ereksi terputus begitu saja.

Pemeriksaan awal menunjukkan dia gemar perempuan dan kasih kepada isterinya. Dia diberi tunjuk ajar cara menggunakan ereksi untuk bersetubuh. Akhirnya dia berjaya mengatasi masalah itu dan kini memperoleh anak.

Kesimpulannya, mungkin mereka sebenarnya mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai suami kepada isteri, tetapi perlu diberikan bimbingan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...