Testikel Kanan Sakit

Spread the love

SAYA menghadapi masalah sejak kebelakangan ini apabila testikel saya berasa sakit seperti bengkak sebelah di bahagian kanan.

Apabila saya pegang bahagian itu terasa pedih. Ketika dalam keadaan duduk juga ia terasa sakit, begitu juga bahagian pinggang saya.


Saya harap doktor dapat menerangkan apa sebenarnya berlaku, adakah ia normal atau tidak?

FADLI

Sabak Bernam, Selangor

Sakit buah zakar jarang berlaku. Jika ia berlaku, biasanya ada sebab tertentu dan perlu dirujuk kepada doktor.

Keadaan itu sangat jarang berlaku kepada buah zakar dalam situasi tertentu seperti pakai seluar dalam ketat atau seluar ketat atau ketika duduk buah zakar tertekan.

Jarang juga keadaan sebegitu akibat cengkaman pembuluh darah bergumpal yang dikenal sebagai varikosel. Keadaan itu hanya terasa sekali sekala dan tidak membimbangkan. Bagaimanapun, anda perlu berjumpa doktor untuk kepastian.

Sakit buah zakar yang ketara berlaku apabila buah zakar tercedera atau ‘trauma’ seperti tertendang atau terpukul.

Bengkak boleh berlaku dan darah boleh terkumpul atau ‘hematocele’. Untuk kurangkan berasa sakit, buah zakar boleh ditekap dengan ais dan perlu dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan.

Jarang juga berlaku buah zakar terpulas atau ‘torsion’. Jika berpulas secara separa berlaku, ia tidak berbahaya tetapi keadaannya perlu diperbetulkan.

Jika berpulas secara ketara pula, jalanan darah boleh tersekat dan buah zakar boleh ‘mati’ atau kilang buah zakar boleh rosak.

Rasa sakit buah zakar itu akibat radang buah zakar atau orkitis atau keradangan pundi epididimis atau ‘epididimitis’ atau kedua sekali iaitu radang buah zakar dan pundi epididimis atau ‘epididymorchitis’.

Ada juga lelaki yang menghidap batu karang mengalami sakit buah zakar. Contohnya sakit buah zakar kanan apabila batu karang bergerak ke dalam salur kencing kanan.

Pelbagai masalah menyebabkan perasaan sakit buah zakar dan jika lelaki itu tidak buat apa-apa, sudah tentu masalah menjadi serius dan jika sebabnya serius, buah zakar boleh rosak selama-lamanya!

Namun sangat jarang sakit buah zakar akibat ketumbuhan atau kanser. Jadi jangan mendiamkan diri. Jika masih sakit dan kesakitan itu berterusan, cepat jumpa doktor dan jangan cuba rawatan sendiri atau jumpa tukang urut, nanti padah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...