Usus terkeluar atau Burut

Spread the love

SUAMI saya berusia 30 tahun dan mempunyai usus terkeluar dari perut (sejak bayi) atau dipanggil hernia. Jika mengangkat berat atau terbersin, pasti usus itu terkeluar dari dalam perut melalui satu lubang di tepi perut atas kantung telurnya.

Sebelum ini, setiap kali usus itu terkeluar ia dimasukkan semula ke dalam perut dengan menekan atau menolaknya masuk, tetapi sejak sebulan lalu usus itu membesar menjadi seperti sebiji telur angsa.

Bila ia terkeluar, pasti sukar dimasukkan semula. Masalahnya, sejak dua minggu lalu apabila makan benda berat seperti nasi, suami berasa sakit apabila membuang air besar kerana yang keluar adalah darah, bukan sisa makanan.

Masalah kedua pula, sejak sebulan lalu juga selepas kami ‘bersama’, dia pasti mengalami sakit di dalam perut dan lelehan air maninya berbau busuk, membuatkan saya takut untuk bersama lagi.

Sebelum ini antara kami tidak pernah mengalami keadaan seperti ini. Harap doktor dapat jelaskan, apakah masalah terbabit berkaitan antara satu dengan lain dan bagaimana cara penyelesaian dan anggaran kosnya?

ISTERI BINGUNG

Kuantan, Pahang

JAWAPAN

Daripada keterangan puan, kemungkinan besar suami menghidap penyakit ‘burut’ atau angin pasang atau ‘hernia’. Suami puan menderita dalam diam kerana penyakit itu, dan mungkin malu berjumpa jumpa doktor dan segan untuk berterus terang dengan puan.

Semua masalah dialami bukan puan dapat daripadanya, tapi kerana perubahan yang berlaku padanya yang menggambarkan masalah dan derita dialaminya dan itulah kelemahan lelaki iaitu tidak mahu berterus terang, suka menyimpan masalah kesihatan dan merana dalam kesepian.

Puan perlu memujuknya berjumpa doktor dan kemudian baru doktor dapat tahu masalah sebenar, sama ada simptom buang air besar bercampur darah dan air mani berbau ada kaitan dengan masalah kesihatan dialaminya.

Biasanya, buang air besar bercampur darah mungkin petanda buasir atau luka di pintu pembukaan lubang najis, manakala air mani berbau mungkin kesan daripada makan makanan yang berbau! Atau kebetulan ia berbau secara semula jadi yang agak kuat!

Yang mustahak ialah suami perlu menjalani pemeriksaan doktor kerana selama ini ‘burutnya’ dapat dilegakan setiap kali ia terkeluar dan kini burut itu semakin membesar dan mungkin tidak dapat dikembalikan ke dalam perut.

Ketulan ‘burut’ yang keluar itu sebenarnya kandungan dalam perut seperti lemak susu (omentum) atau usus. Jika usus itu tersangkut dalam kantung, tentu jalanan makanan dalamnya juga tersangkut dan ini boleh membahayakan diri individu itu sehingga dia perlu menjalani pembedahan kecemasan!

Kemungkinan juga sakit perut selepas selesai seks itu ada kaitan dengan keadaan burut yang sudah besar itu. Jadi puan perlu menggalakkan suami berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan mendapat rawatan.

Jika sah ‘burut’ atau hernia, cara penyelesaiannya ialah pembedahan pembetulan atau pemulihan.

Usus yang terkeluar perlu dimasukkan kembali dalam perut dan pembukaan antara perut dan kerandut itu ditutup. Jangan dapat rawatan tradisional seperti urutan, kononnya untuk menolak masukkan ketulan itu kembali.

Jika tersalah urut boleh menyebabkan usus terluka dan jika usus pecah boleh membahayakan nyawa. Dapatkan rawatan doktor secepat mungkin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...