Zakar Gatal

Spread the love

Soalan

ADA ketulan kecil pada buah zakar saya yang menyebabkan kegatalan pada bahagian itu dan kawasan sekitarnya. Ia semakin ketara terutama pada waktu malam serta keadaan lembap dan panas.

Kekerapan menggaru membuatkan ia luka sehingga terasa pedih. Apakah punca masalah ini dan apa rawatan atau ubat yang sesuai?

LAMIN
Serdang, Selangor

Jawapan

KULIT anggota sulit lelaki dan perempuan adalah jenis halus dan lembut serta tidak mudah kering kerana dilapisi pelembap kulit semula jadi. Selain faktor itu, kehadiran bulu roma juga membuatkan kulit bahagian itu sentiasa lembap dan selesa.

Apabila bahan pelembap kurang atau lapisan pelembap hilang akibat mencuci dengan sabun kosmetik, maka kulit bahagian itu akan menjadi kering, licin dan gatal. Kemudian jika kerap digaru kulit akan melecet serta luka dan terdedah kepada jangkitan.

Jika bulu roma dicukur, kulit akan terdedah tanpa pelindung yang mengawal bahan pelembap semula jadi. Jika kering, ia akan terasa gatal dan jika digaru keradangan kulit berlaku dan salur pundi pelembap semula jadi ‘sebaceous’ akan terkandas. Pundi berkenaan pula akan mengeras dan timbul serta kelihatan seperti jerawat.

Jika ada jangkitan, pundi akan membesar dan boleh pecah serta mengeluarkan cecair yang berbau busuk. Pundi yang pecah itu akan dikenali sebagai ‘wen’.

Sila berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan sewajarnya. Mencuba segala ubat tanpa diperiksa doktor bukan cara yang bijak.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...